Kota Kinabalu: Usaha kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan secara tahunan bagi melantik guru agama dan kakitangan masjid dalam kalangan anak jati Sabah sejajar dengan pendekatan memperkasakan modal insan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu bagi memastikan modal insan sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.
“Ia dapat dilihat dari segi tugas dan tanggungjawab ustaz serta ustazah yang mengisi dan memenuhi keperluan masyarakat dalam bidang-bidang ilmu dan amal Islami.
“Bagi pihak kerajaan negeri, usaha yang dilaksanakan dalam pembangunan Islami, termasuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan masjid dan surau, sekolah-sekolah agama, penambahan pelantikan guru-guru agama dan imam-imam kariah adalah pendekatan untuk memastikan masyarkat Islam di negeri ini selesa dalam melaksanakan amal ibadah dan mendapat pendidikan agama yang sewajarnya dari peringkat awal pendidikan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif pada Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Katanya lagi, masyarakat yang lahir dari acuan yang baik, sudah tentu akan melahirkan generasi baharu yang lebih beragama, berwibawa dan berwawasan.
“Mereka ini yang akan memandu pada masa akan datang kepada sebuah negeri makmur yang sentiasa disirami dengan rasa syukur atas limpahan nikmat ruah yang diperolehi yang diharapkan dapat disifatkan sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur kerana ketakwaan masyarakatnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pengukuhan kepada ajaran Islam perlu diperhebat dan diperkasakan dalam menangkis sebarang terjahan sekularisme barat dan ajaran yang menyeleweng seperti syiah dan ajaran lain.
“Pengukuhan dalam pembentukan jati diri Islami ini harus berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menganuti pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak.
“Ini kerana, ia adalah satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Rasullullah SAW,” katanya.
-Deasoka