Jentera PAS Sabah akan bantu PRN Johor

Jentera PAS Sabah akan bantu PRN Johor

Kota Kinabalu: Jentera PAS Sabah akan digerakkan untuk membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, sudah menjadi kebiasaan setiap kali pilihan raya jentera akan digerakkan untuk membantu calon.

Mohd Arifin menyampaikan cenderamata kepada Idris pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, Kota Kinabalu.

“Kalau kita bertanding, memang itu kebiasaan. Bukan setakat Sabah tetapi seluruh Malaysia.

“Siapa berkemampuan, boleh pergi. Kita terbuka datang secara sukarela kita tak bayar. Macam kita datang Sabah (PRN Sabah) pun kita sukarela,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada perbincangan dengan PAS Sabah untuk menggerakkan jentera pada PRN Johor kelak.

Bagaimanapun, Idris berkata, perkara itu belum dibincanngkan secara rasmi dengan PAS Sabah.

Sebelum ini, PAS Johor memaklumkan kira-kira 15,000 jentera dari seluruh negara akan digerakkan untuk berkempen dalam PRN Johor.

Diminta mengulas lanjut berhubung kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam PRN Johor, beliau berkata ia belum dibincangkan setakat ini.

“Belum lagi kita bincang. Tunggu hari penamaan calon nanti berapa PAS tanding, berapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berapa UMNO tanding. Nanti lihat sekarang ini, kalau cakap-cakap tak jadi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Ihsan khas untuk pelajar sekolah menengah akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

“KAFA Ihsan melibatkan pelajar sekolah menengah yang akan kita fokus kepada mereka. Sebab dari darjah satu hingga darjah enam sudah ada KAFA biasa.

“Kita akan bentuk modul dalam program ini, kita tak putuskan lagi. InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan umumkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, program itu adalah pilihan untuk pelajar sekolah menengah yang beragama Islam namun dalam masa sama mereka digalakkan untuk menyertainya.

“Sekolah semua termasuk, ia cuma pilihan bukan wajib. Tidak termasuk dalam peperiksaan, hanya sebagai nilai tambah untuk pelajar kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|