Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster baharu institusi pendidikan dilapor hari ini

Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster baharu institusi pendidikan dilapor hari ini

Kota Kinabalu: Tiga lagi kluster baharu berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, masing-masing di Tuaran, Lahad Datu dan Keningau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, di Tuaran, Kluster Jalan Kiulu dikesan membabitkan kes indeks seorang pelajar berumur 14 tahun yang bergejala pada 17 Januari lalu.

Katanya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad, Kiulu itu kemudian menjalani ujian RT-PCR di klinik berdekatan dan didapati positif Covid-19.

“Saringan kontak rapat kemudiannya dijalankan dan mendapati seramai 14 orang lagi positif. Punca jangkitan dan perebakan masih lagi dalam siasatan namun Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuat kesimpulan awal ia berpunca daripada pergaulan dalam asrama.

“Kesemua pelajar yang terlibat adalah dalam Kategori 1 dan 2 serta telah diasingkan untuk rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Di Lahad Datu, Kluster Jalan Terusan yang setakat ini menjangkiti 10 pelajar, dikesan selepas kes indeks iaitu seorang pelajar Tingkatan 1, Asrama SMK Terusan, didapati positif Covid-19.

Masidi berkata, kes indeks mula bergejala pada 20 Januari lalu sebelum memaklumkan kepada pihak sekolah pada 23 Januari dan terus menjalani ujian saringan di Klinik Lahad Datu pada hari yang sama.

“Kes indeks disahkan positif melalui ujian RTK-Ag. Saringan kontak rapat kemudiannya dijalankan dan jumlah kumulatif positif kluster setakat ini ialah 10 orang. Kesemua yang terlibat adalah dalam Kategori 1 dan 2 dan telah dirawat sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, katanya di Keningau, Kluster Puri Seberang Keningau tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 SMK Keningau 1 yang berumur 18 tahun disahkan positif.

Beliau berkata, pelajar berkenaan bergejala sejak 20 Januari lalu, namun hanya memaklumkan kepada pihak sekolah pada 26 Januari.

“Pihak sekolah kemudiannya menjalankan ujian kendiri ke atas beberapa orang pelajar lagi dan 18 pelajar didapati positif.

“Susulan insiden berkenaan, ujian pengesanan RT – PCR dijalankan dan mendapati 19 pelajar positif. Kesemua pelajar itu berada dalam Kategori 1 dan 2, dan telah diasing serta dirawat sewajarnya,” katanya.

Selain pertambahan kluster, katanya Sabah turut merekodkan peningkatan semula kes baharu dengan sebanyak 342 kes hari ini berbanding 335 kes semalam.

Katanya, jangkitan baharu yang agak tinggi di setiap daerah menimbulkan kebimbangan dengan enam daerah mencatat jumlah kes baharu yang tinggi, iaitu Kota Kinabalu (60 kes), Sandakan (40 kes), Kota Marudu (34 kes), Beaufort (34 kes), Tuaran (33 kes) dan Putatan 24 kes).

“Secara keseluruhan, sebanyak 11 daerah mencatat kes baharu dua angka, 10 daerah mencatat kes satu angka dan enam daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.

“Pada hari ini, sebanyak 38 kes atau 11.11 peratus adalah angka yang disumbangkan melalui saringan kluster. Kesemua kes itu datang daripada tujuh kluster aktif, dengan tiga daripadanya adalah kluster baharu,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 27 Januari 2022
Sabah 342 (335)

Kota Kinabalu 60 (40)
Sandakan 40 (34)
Kota Marudu 34 (64)
Beaufort 34 (14)
Tuaran 33 (40)
Putatan 24 (8)
Penampang 19 (41)
Tawau 19 (13)
Papar 18 (15)
Keningau 13 (13)
Ranau 10 (22)
Lahad Datu 8 (2)
Sipitang 7 (0)
Kota Belud 6 (12)
Kunak 4 (1)
Kinabatangan 3 (2)
Tenom 3 (3)
Tambunan 2 (0)
Beluran 2 (6)
Kudat 2 (0)
Pitas 1 (1)
Semporna 0 (0)
Kuala Penyu 0 (3)
Telupid 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 26 Januari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Jalan Kiulu
    Tuaran, 15 (+3)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Jalan Terusan
    Lahad Datu 10 (+2)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  3. Kluster Puri Seberang Keningau
    Keningau, 19 (+9)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|