YaPEIM, Alliance Islamic Bank bekerjasama jayakan ‘Flood Aid For Sabah’

YaPEIM, Alliance Islamic Bank bekerjasama jayakan ‘Flood Aid For Sabah’

Kota Kinabalu: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Alliance Islamic Bank Berhad membelanjakan RM50,000 untuk pelaksanaan ‘Flood Aid For Sabah’.

Dana berkenaan disumbangkan oleh Alliance Islamic Bank Berhad bagi melaksanakan projek komuniti di Sabah.

Idris (dua dari kanan) menyampaikan simbolik penyerahan bot penyelamat kepada Md Ali (kiri).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, dana untuk projek komuniti itu digunakan untuk pembinaan tangki air bersih di Kampung Garama dan Kampung Kuridak di Beaufort.

Selain itu katanya, ia turut dimanfaatkan untuk membina empat buah bot bagi kegunaan ketika banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Alhamdulillah, hari ini saya sendiri dapat menyerahkan empat buah bot yang telah siap dibina berjumlah RM16,000 untuk kegunaan anggota penyelamat kita di sini.

“Saya juga berharap usaha murni antara pihak YaPEIM dan Alliance Islamic Bank Berhad ini dapat memanfaatkan penduduk di negeri ini terutamanya mereka yang tinggal di Kampung Garama dan Kuridak, Beaufort untuk membolehkan mereka menikmati bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena simbolik penyerahan bot kepada JBPM Sabah di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Redza Shah Abdul Wahid; Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail dan Naib Presiden Kanan/Ketua Serantau Wilayah Timur Alliance Islamic Bank Berhad, Jeffrey Law Hieng Kuok.

Idris berkata, dengan sumbangan ini akan lebih banyak sektor korporat seperti Alliance Islamic Bank Berhad dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk membantu lebih ramai masyarakat yang memerlukan.

“Untuk maklumat juga, pihak YaPEIM telah mengeluarkan agihan perbelanjaan bagi program sosio-ekonomi dan amal jariah kira-kira RM34 juta dengan 1.3 juta penerima manfaat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, agensi-agensi di bawah kementeriannya akan sentiasa turun padang dalam mencari orang susah dan mereka yang memerlukan bantuan untuk dibantu.

“Prinsip yang saya pegang dalam kerja pasukan, saya mengarahkan kepada semua agensi-agensi di bawah kementerian supaya kita kena cari orang susah… saya tak hendak orang susah mencari kita.

“Ini menyukarkan mereka kerana mereka terpaksa meninggalkan kerja harian mereka sedangkan kita dibayar gaji, ada elaun dan tugas kita pergi mencari mereka, kita pantas untuk mendapatkan maklumat lengkap dan hulurkan bantuan kepada mereka, sama ada melalui media sosial, aduan, ataupun kita dapat maklumat daripada orang ramai.

“Maka kita mesti pergi berjumpa mereka, bukan mereka yang datang berjumpa dengan kita. Itu perinsip yang saya arahkan kepada semua agensi kerana kita perlu mengambil berat berkenaan orang susah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|