SLDB, DFSB tandatangani MoU bina kilang baja nano di Silabukan

SLDB, DFSB tandatangani MoU bina kilang baja nano di Silabukan

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) untuk pembinaan kilang baja nano (Nanofertilizer) berteknologi tinggi yang seumpamanya di Malaysia.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari dan Ketua Pegawai Eksekutif DFSB, Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain dengan disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi SLDB, Datuk Abd Ghani Mohd Yassin.

Bung Moktar (tengah) dan Abd Ghani menyaksikan wakil SLDB dan DFSB menandatangani dokumen MoU di Kuala Lumpur.

Syaheddrul berkata, MoU itu adalah salah satu perancangan Pelan Strategik SLDB 2022-2026 untuk memastikan ia terus kekal relevan dan berdaya saing sejajar objektif membangunkan masyarakat luar bandar Sabah.

Katanya, usaha itu juga bagi memastikan SLDB dapat terus memperjuangkan nasib masyarakat peneroka melalui pembelian input pertanian seperti baja tanaman agar dapat diperolehi dengan harga yang berpatutan.

Di samping itu, beliau berkata ia juga membuka ruang bagi SLDB untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya melalui penjualan baja tanaman kepada ladang-ladang dan petani di Sabah serta pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina.

“Kewujudan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan Sabah juga merupakan faedah yang akan dikecapi ketika pelaksanaan kilang baja ini.

“Pembinaan kilang baja ini sejajar dengan saranan kerajaan negeri melalui halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ia juga salah satu persediaan awal SLDB untuk menjadi agensi Food Security di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Muhammad Fairus berkata, melalui MoU berkenaan, DFSB akan melaksanakan pembangunan kilang baja nano secara usahasama dengan SLDB di atas tanah milik agensi itu seluas 10 ekar di Silabukan, Lahad Datu.

Beliau berkata hubungan kerjasama yang erat itu dimulai dengan usahasama dalam bidang penyelidikan bagi mengkaji keberkesanan produk baja premium ke atas tanaman sawit dengan menggunakan Teknologi Nano keluaran DFSB yang menunjukkan peningkatan hasil lebih tinggi berbanding amalan biasa.

“Selain itu baja teknologi nano ini juga diaplikasi hanya dua kali setahun serta efektif dalam mengurangkan serangan penyakit Ganoderma pada tanaman sawit muda.

“Susulan daripada perkara berkenaan, SLDB dan DFSB telah mendapat persetujuan usahasama untuk membangunkan kilang baja yang menggunakan Teknologi Nano ini untuk dijadikan sebagai projek perintis dan hub pertanian dalam memasarkan produk baja ini ke seluruh kepulauan Borneo seperti Sabah, Sarawak selain dieksport ke luar negara antaranya Indonesia, Brunei dan Filipina,” katanya.

Katanya, bagi mencapai sasaran sekuriti makanan negara, di mana rakyat dapat mengakses makanan secara fizikal dan ekonomi serta mencukupi bagi kehidupan yang sihat dan mampan, Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mempunyai kilang baja yang moden dan dinamik bagi memenuhi keperluan baja bagi projek tanaman sawit, padi, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran agar dapat terus memberikan hasil yang tinggi dan berkualiti bagi kegunaan dalam negeri dan eksport.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|