Kurang tempoh 24 jam, selesaikan kes curi kenderaan

Kurang tempoh 24 jam, selesaikan kes curi kenderaan

Kota Marudu: Seorang penjenayah yang terlibat dalam kejadian curi kenderaan di Kampung Sumbilingon, di sini, berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan diterima.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan Isuzu D-Max pada jam 10.26 malam, Selasa lalu.

Kenderaan yang dicuri suspek terbabas di tepi jalan Kampung Timbang Batu, Kota Marudu.

Katanya, sebaik menerima laporan daripada mangsa, siasatan dan Op Kesan terus dilancarkan bagi mengesan suspek yang terbabit.

“Pada kira-kira jam 11.30 pagi, 10 Ogos lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan terdapat sebuah kenderaan terbabas di tepi jalan Kampung Timbang Batu, di sini.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati, kenderaan Isuzu D-Max yang terbabit dalam kemalangan berkenaan adalah sama dengan laporan diterima,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kenderaan yang dicuri oleh suspek.

Zairolnizal berkata, polis turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang memandu kenderaan berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil soal siasat awal yang dijalankan, suspek mengaku mencuri kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dijatuhkan hukuman bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Putrajaya.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Zairolnizal berkata, siasatan lanjut akn dijalankan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Syabas dan tahniah kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu atas kejayaan tangkapan ini.

“Terima kasih juga kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|