PRU-15: UMNO Beaufort sudah siap sedia hadapi pilihan raya

PRU-15: UMNO Beaufort sudah siap sedia hadapi pilihan raya

Kuala Penyu: Persediaan UMNO bahagian Beaufort sudah mencapai hingga 80 peratus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.

Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Awang Damit Jion, berkata UMNO bahagian itu sedang menilai dan meneliti kesiapsiagaan bukan sahaja di peringkat bahagian tetapi juga di 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sudah diaktifkan sejak tahun lalu.

Awang Damit Jion

“Bilik gerakan PDM di kesemua PDM iaitu 12 di DUN Kuala Penyu dan 12 di DUN Klias sudah diaktifkan, jentera sudah kita bentuk hanya menunggu bila tarikh PRU-15 akan diadakan,” katanya, di sini.

Selain itu, Awang Damit berkata, gerakan turun padang menyantuni pengundi termasuk mereka yang ditimpa musibah juga giat dilaksanakan UMNO bahagian.

“Kita (UMNO) tidak mendabik dada dari segi gerakan menyantuni rakyat tetapi ternyata UMNO masih di hadapan berbanding yang lain walaupun kawasan ini diwakili oleh pemimpin dari kerajaan yang memerintah,” katanya.

Berikutan itu, Awang Damit berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak atau pemimpin memperlekehkan usaha yang dilakukan oleh UMNO dan menuntut kerusi Parlimen Beaufort untuk mereka wakili sedangkan kerusi berkenaan sebelum ini diwakili oleh UMNO yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja kerana perbuatan melompat parti yang tidak mendapat restu ahli dan penyokong UMNO BN.

“Tidak semudah itu kita memenuhi tuntutan tersebut, kerana hakikatnya sebelum ini UMNO yang mewakili kawasan ini. Kita juga sudah dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU-15,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Damit meminta ahli UMNO khususnya jentera parti di bahagian Beaufort supaya terus melaksanakan tugas mereka, fokus untuk mengemaskini jentera parti di semua peringkat dan mendekati pengundi di peringkat akar umbi.

“Abaikan tuntutan mana-mana pihak yang ingin bertanding atau mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|