SLDB buka ladang Musang King 100 hektar di Sipitang

Nabawan: Seluas 100 hektar ladang durian Musang King bakal diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di daerah Sipitang dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata penanaman durian berkenaan adalah inisiatif baharu SLDB di samping penanaman kelapa sawit.

Katanya, bekalan bibit atau benih durian Musang King untuk projek itu diperolehi dari Raub, Pahang.

“Kita akan memulakan projek tanaman durian Musang King ini di Sipitang, membabitkan tapak seluas lima hektar terlebih dahulu termasuk tanah untuk membina rumah peneroka.

“Sebagai permulaan, seramai 10 hingga 20 orang peneroka akan menjayakan projek penanaman bagi lima hektar itu sebelum mencapai 100 hektar fasa demi fasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan pendapatan peneroka dan dividen kepada peserta serta pekebun kecil SLDB bagi tahun lalu yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Abdul Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, berkata sebanyak RM21 juta diagihkan SLDB sebagai pendapatan dan dividen kepada peneroka dan peserta projek perladangannya bagi tahun lalu yang dibayar secara bulanan dan suku tahun.

“Agihan dividen terkumpul kepada peneroka dan peaerta SLDB pada 2021 berjumlah RM21 juta berbanding RM3.4 juta pada 2020. Ini satu pencapaian yang amat tinggi direkodkan SLDB dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Antara faktor utamanya ialah peningkatan pengeluaran hasil sawit iaitu sebanyak 68,000 tan metrik pada 2021 berbanding 53,000 tan metrik 2020, lebih-lebih lagi harga sawit yang amat memberangsangkan.

“Harga purata Buah Tandan Segar (BTS) bagi 2021 ialah RM867 per tan metrik berbanding RM426 per tan metrik pada 2020,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun ini iaitu setakat suku pertama 2022, SLDB sudah membayar RM5 juta dividen berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|