Kontraktor dipenjara sehari, denda RM48,000 guna dokumen palsu

Kota Kinabalu: Seorang kontraktor dipenjara sehari dan denda RM48,000 selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM172,980 di sebuah agensi kerajaan pada 2018.

Tertuduh, Hassan Ho Abdullah, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakat Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat akuan dan pengesahan Stesen Servis Napson di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat pada 27 November 2018.

Dokumen itu digunakan untuk tuntutan Projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) 2018 bagi syarikat Setia Gemilang Enterprise kepada KPDNHEP Kudat.

Tertuduh didakwa mengemukakan empat tuntutan iaitu RM24,660 pada Ogos 2018, diikuti masing-masing RM27,360 pada September dan Oktober 2018) serta RM9,180 pada November 2018.

Dokumen itu juga digunakan untuk membuat tuntutan projek yang sama bagi syarikat Sinaran Transporter membabitkan nilai sebanyak RM30,780 pada Ogos; RM27,180 pada September; RM18,360 pada Oktober dan RM8,100 pada November 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM48,000 selepas tertuduh mengaku salah terhadap semua pertuduhan.

Jika gagal membayar denda berkenaan, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara selama 32 bulan lagi, namun semua denda berkenaan dibayar oleh tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam dari Nohin & Partners.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|