Siapsiaga pertahan keselamatan perairan Sabah

Kota Kinabalu: Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap siaga dalam memastikan tahap keselamatan di perairan negeri ini selamat dan terpelihara daripada ancaman anasir luar.

Ia dengan memastikan kesiapsiagaan aset berada pada tahap tertinggi serta meletakkan keanggotaan yang mencukupi.

Sazalee menyampaikan anugerah sempena Hari TLDM Ke-88 di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu.

Timbalan Panglima Armada Timur (TPA Timur) Laksamana Pertama Sazalee Shoib berkata, persediaan itu termasuk penugasan anggota yang tidak pernah berubah.

Katanya, setiap aset dan anggota ditempatkan di lapangan walaupun sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri berlangsung tidak lama lagi.

Perbarisan Hari TLDM ke-88 di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu PTKK, di sini, hari ini.

“TLDM sentiasa bersiap siaga berada di beberapa kawasan di perairan dalam tempoh 24 jam seminggu termasuklah lima kapal yang ditempatkan di beberapa kawasan di perairan negara.

“Penugasan ini termasuklah di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) Lahad Datu dan lima Stesen TLDM lain. Kita mempunyai kira-kira 640 anggota yang ditugaskan dan ditempatkan di sana bagi memastikan keselamatan perairan terjaga dan kedaulatan negara terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Perbarisan Hari TLDM ke-88 di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu PTKK, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sazalee berkata, pihaknya juga amat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat melaksanakan perbarisan yang cemerlang semasa sambutan Hari TLDM tahun ini selepas dua tahun menghadapi kekangan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, perbarisan kali ini dijayakan dengan penyertaan seramai 297 warga TLDM keseluruhan termasuk 39 pegawai dan 258 anggota lain-lain pangkat.

“Untuk perbarisan kali ini kita dapat membawa kelainan apabila menggunakan pancaragam TLDM Armada Timur sendiri melalui usaha berterusan yang mana dapat diwujudkan dalam masa singkat.

“Kita berbangga dengan pencapaian ini berikutan sebelum ini kita hanya mendapat bantuan daripada Tentera Darat dan dengan wujudnya pancaragam ini kita harapkan untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti pada masa hadapan,” katanya.

Sazalee berkata, bersempena sambutan Hari TLDM, pihaknya turut melaksanakan empat anugerah penting iaitu Anugerah Piala Panglima, Piala Terumbu, Bintara Terbaik dan Laskar Terbaik.

Katanya, Anugerah Piala Panglima dan Piala Terumbu diberikan bagi mewujudkan persaingan sihat antara lima stesen yang ada di laut China selatan.

“Selain itu ia juga termasuk 11 kapal masing-masing di Kota Kinabalu dan Sandakan dengan mengambil kira kesiapsiagaan, tahap selenggaraan, kompetensi, operasi latihan, disiplin dan sebagainya,” katanya.

Anugerah Piala Panglima dimenangi KD Sri Gaya, Piala Terumbu disandang Stesen Uniform, Bintara Terbaik diberikan kepada PW I TMS Azmi Shuaid dari Unit Depot Senggara Armada Timur manakala Laskar Terbaik disandang LK PLM Muhammad Taufik Harudin dari Markas Wilayah Laut 2.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|