SLDB bayar RM21 juta dividen 2021 kepada 7,000 peneroka dan peserta

Nabawan: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) membayar RM21 juta dividen terkumpul kepada 7,000 peneroka dan pesertanya pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang berpuas hati terhadap pencapaian itu berkata, pembayaran dividen berkenaan adalah yang terbaik direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Nabawan.

“Prestasi agihan dividen terkumpul SLDB pada 2021 kepada peneroka dan peserta adalah berjumlah RM21 juta berbanding RM3.4 juta pada 2020.

“Pemberian dividen ini telah dibayar secara bulanan dan suku tahun sepanjang 2021. Setakat suku pertama tahun ini pula, SLDB telah membayar sebanyak RM5 juta dividen, berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan bersama Ketua Menteri di pekarangan Masjid Al-Hidayah dekat sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Flovia Ng; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda, Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan
Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, untuk tahun ini, SLDB mensasarkan pemberian dividen sebanyak RM17 juta kepada peneroka dan pesertanya.

Katanya, faktor utama penyumbang kepada pencapaian itu didorong oleh peningkatan pengeluaran hasil sawit iaitu sebanyak 68,000 tan metrik pada 2021, berbanding 53,000 tan metrik pada 2020, selain peningkatan harga sawit.

Beliau juga mahu SLDB terus memainkan peranan penting dalam membantu membasmi kemiskinan masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka melalui pembangunan tanah berasaskan pertanian.

SLDB kini melaksanakan pembangunan tanah dan penanaman semula kelapa sawit di seluruh Sabah melibatkan kawasan seluas 38,000 hektar, manakala sebahagian kecil lagi ditanam dengan getah.

Projek berkenaan memberikan manfaat kepada hampir 7,000 isi rumah yang terdiri daripada golongan B40 dan kira-kira 28,000 isi rumah yang meliputi isteri dan anak peneroka serta peserta SLDB.

“Ini yang dilakukan oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Kerajaan berharap GLC dapat menyumbang sejumlah RM200 juta dividen kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan hasil daripada dividen yang diterima akan digunakan bagi membina dan meningkatkan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk rakyat.

Katanya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) komited membangunkan rakyat dan negeri Sabah menerusi Halatuju Sabah Maju Sabah (SMJ) yang selari dengan manifesto dan Aku Janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Yang penting kita mesti terus bersatu padu, tingkatkan persefahaman dan kerjasama serta kuatkan Kerajaan GRS-BN. InsyaAllah, kita akan menang dengan bergaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sumbangan bakul makanan dan duit raya kepada golongan asnaf, beras kepada peserta SLDB daerah Nabawan, sumbangan RM2,000 kepada Masjid Al-Hidayah Nabawan dan simbolik penyerahan pembayaran pendapatan peneroka dan dividen peserta SLDB 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|