Covid-19 Sabah: Hanya 40 kes hari ini, terendah sejak lebih setahun

Kota Kinabalu: Sabah hanya mencatat 40 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikannya jangkitan baharu yang terendah direkodkan sejak lebih setahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, jumlah itu adalah yang terendah sejak 29 Mac 2021.

“Jumlah kes baharu hari ini ialah 40 kes, penurunan 11 kes berbanding 51 kes yang direkodkan semalam.

“Keadaan secara keseluruhan terus bertambah baik. Tiada jangkitan baharu dilaporkan di 13 daripada 27 daerah di Sabah dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 13 daerah lagi mencatat kes baharu satu angka dengan enam daripada daerah terbabit masing-masing hanya merekodkan satu jangkitan baharu,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Keningau menjadi daerah tunggal di Sabah yang mengambil alih catatan kes baharu dua angka iaitu dengan 10 kes hari ini berbanding sifar kes semalam.

Katanya, sembilan daripada 10 jangkitan terbabit melibatkan OKT (Orang Kena Tahan).

“Kota Kinabalu yang mencatat jumlah jangkitan dua angka semalam hanya merekodkan enam kes baharu pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, seramai 37 orang daripada 40 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala masing-masing satu kes dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 27 April 2022
Sabah 40 (51)

Keningau 10 (0)
Kota Kinabalu 6 (13)
Tambunan 5 (4)
Sandakan 4 (2)
Telupid 3 (0)
Beluran 2 (0)
Ranau 2 (3)
Tuaran 2 (5)
Kinabatangan 1 (1)
Kota Belud 1 (2)
Kota Marudu 1 (0)
Kudat 1 (0)
Penampang 1 (0)
Sipitang 1 (1)
Beaufort 0 (2)
Kalabakan 0 (0)
Kuala Penyu 0 (0)
Kunak 0 (0)
Lahad Datu 0 (5)
Nabawan 0 (2)
Papar 0 (3)
Pitas 0 (0)
Putatan 0 (1)
Semporna 0 (1)
Tawau 0 (5)
Tenom 0 (1)
Tongod 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 26 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|