PBRS sedia bantu BN rampas Parlimen Tuaran

Tuaran: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sedia membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Tuaran selepas keahlian parti itu mencapai lebih 10,000 bagi kawasan Parlimen Tuaran.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, jumlah keseluruhan keahlian parti itu di Tuaran kini mencecah lebih 10,000 hasil kemasukan seramai 5,842 ahli baharu.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup

“Ini ditambah pula dengan seramai 4,500 ahli PBRS sedia ada, PBRS kini berada dalam keadaan siap sedia untuk mengembalikan kerusi Parlimen Tuaran kepada BN.

“Dengan kekuatan keahlian PBRS melebihi 10,300 ahli ini, PBRS amat yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Tuaran yang tmenjadi kubu kuat BN sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada 2004 lagi,” katanya pada majlis kemasukan ahli baharu PBRS di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 210 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan; 130 ahli dari DUN Kadamaian; 1,512 ahli dari DUN Pantai Dalit; 1, 224 dari DUN Sulaman; 2,234 ahli dari DUN Tamparuli; 872 dari DUN Kiulu dan 1,050 ahli dari DUN Inanam menyertai PBRS.

Parlimen Tuaran kini disandang Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket BN pada PRU-14.

Bagaimanapun, UPKO keluar daripada BN dan beralih sokongan kepada Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri.

“Rakyat mahukan kestabilan politik serta ekonomi seperti mana yang dinikmati oleh negara ketika era pemerintahan BN dulu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kemasukan beramai-ramai ahli ke PBRS dari seluruh pelosok negeri sejak kebelakangan ini menunjukkan rakyat kembali yakin terhadap kemampuan BN untuk mengurus tadbir negara.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu mengajak semua lapisan rakyat di Sabah untuk bersatu hati menyokong calon BN pada pilihan raya akan datang demi kemajuan, kemakmuran dan pembagunan Sabah.

“Saya berharap rakyat tidak lagi terpedaya dengan janji-janji kosong yang ditabur oleh pihak pembangkang yang menganggap bahawa manifesto bukan kitab suci.

“Masa depan cucu dan cicit kita serta kemajuan, kemakmuran dan pembangunan Sabah adalah perkara pokok yang kita perjuangkan dan kita ketepikan politik sentimen yang merugikan rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|