Kota Kinabalu: Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini.
Perkara itu adalah antara kelonggaran terbaharu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media khasnya di Putrajaya jam 4 petang tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata pemakaian pelitup muka di luar bangunan adalah digalakkan terutama di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium dan bazar Ramadan.
Katanya, hanya di dalam bangunan seperti pusat beli belah selain ketika menaiki pengangkutan awam pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.
Jelasnya, individu yang gagal mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka di premis yang masih diwajibkan penakaiannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Sementara itu, katanya bagi kelonggaran imbasan kod QR, orang ramai disaran supaya mengakitifkan MySJ Trace dalam aplikasi MySejahtera mereka walaupun tidak lagi mengimbas kod QR.
Beliau berkata, semakan status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera juga hendaklah terus dilaksanakan pihak pengurusan premis dan tidak membenarkan individu berstatus ‘High Risk’ tidak dibenarkan masuk ke dalam premis.
“Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan bagi pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO),” katanya.
Jelasnya, aplikasi itu juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19.
Selain itu, Khairy berkata KKM turut memutuskan tempoh kuarantin wajib tujuh hari bagi kes positif Covid-19 yang ditetapkan sebelum ini kini boleh dikurangkan jika individu terbabit negatif Covid-19 sebelum tempoh mencapai tempoh berkenaan.
“Sekiranya masih positif, individu terbabit perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari,” katanya.
-Deasoka