Kota Kinabalu: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendedahkan ada membuat perbincangan dengan wakil Pakatan Harapan (PH) untuk mendengar agenda ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya mahu melihat pendekatan bagaimana khemah besar yang dimaksudkan oleh PH itu dan peranan bagi setiap parti yang menyertainya.
“Kita nak dengar apa sebenarnya maksud mereka bila bercakap mengenai khemah besar ini. Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti yang kecil hanya empat Ahli Parlimen, kita tak sampai setahun jagung lagi.
“Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan khemah besar,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa bersama Pejuang Sabah, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung agenda khemah besar yang dicadangkan PH sebelum ini.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pada PRU-14, khemah besar yang diwujudkan memberi ruang kepada semua parti tanpa mengira berapa banyak kerusi yang parti itu miliki.
“Kalau kita ingat zaman PH, pasca PRU-14 khemah besar yang kita wujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti jadi tak kiralah berapa jumlah kerusi yang dimenangi sekalipun.
“Tetapi penyertaan dalam jemaah menteri contohnya seimbang, itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham pendekatan sebegitu diamalkan atau pun ada pihak tertentu yang akan mendominasikan khemah tersebut,” katanya.
Bercakap mengenai kerjasama dengan blok pembangkang lain, Mukhriz turut berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.
“Kita sebenarnya bersikap terbuka untuk berbincang dan berunding dengan sesiapa saja. Sikap terbuka ini kita amalkan bukan hanya di Sabah tentunya juga di Semenanjung.
“Buat masa ini kita belum lagi mendapat sebarang keputusan, perbincangan-perbincangan itu saya rasa tidaklah sampai tahap rundingan dan ia belum lagi berhasil,” katanya.
-Deasoka