Kota Kinabalu: Kira-kira 200 ketua isi rumah (KIR) miskin di sekitar Kota Kinabalu menerima baucer beli belah ‘basmi kemiskinan rakyat’ bernilai RM500 bagi membantu meringankan beban golongan terbabit untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Baucer beli belah dengan jumlah keseluruhan RM100,000 itu diedarkan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kota Kinabalu pada minggu akhir Ramadan sebelum menjelang Syawal.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, sebaik sahaja fasa kedua dana untuk kawasan Parlimen dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Rakyat pada minggu ini, pasukannya segera memulakan kerja mengagihkan dana melalui baucer berkenaan.
Beliau berharap dengan bantuan itu golongan yang memerlukan dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih gembira.
“Ini adalah selaras dengan garis panduan peruntukan kawasan Parlimen yang dirangka Jabatan Perdana Menteri dan wang itu mesti digunakan untuk projek pembasmian kemiskinan.
“Senarai fakir miskin di kawasan Parlimen Kota Kinabalu diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, iaitu kesemua mereka yang berdaftar dengan sistem eKasih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
eKasih merupakan pangkalan data bersepadu bagi ketua isi rumah miskin untuk penyaluran bantuan.
Foong Hin yang juga Ketua Biro Dasar DAP Kebangsaan berkata, secara umumnya, keluarga yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,000 tersenarai dalam golongan miskin.
“Namun demikian, garis kemiskinan setiap negeri adalah berbeza. Sebagai contoh, di Sabah, mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,154 (bandar) dan RM1,215 (luar bandar) adalah golongan miskin yang layak mendapat bantuan daripada eKasih.
“Mereka yang memenuhi syarat-syarat ini boleh pergi ke ICU Jabatan Perdana Menteri atau kerajaan tempatan, untuk memohon dimasukkan ke dalam sistem eKasih,” katanya.
Katanya lagi, kali ini Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kota Kinabalu telah mengubah cara pengagihan bungkusan bantuan makanan dan menggantikannya dengan baucer untuk membeli belah.
“Mereka yang mendapat baucer beli-belah bernilai RM500 ini boleh pergi ke kedai serbaneka 99 Speedmart yang berhampiran untuk membeli keperluan asas harian dan dianggarkan 200 isi rumah miskin akan mendapat manfaat,” katanya.
“Pasukan kami mengambil keputusan untuk mengagihkan baucer-baucer beli beli ini dengan cara ziarah dari rumah ke rumah dan menyerahkannya seorang demi seorang.
“Kami tidak mengadakan apa-apa majlis serah terima, lagipun, hidup bukan mudah untuk orang miskin, jadi kami tidak perlu menyusahkan mereka untuk datang kutip baucer beli-belah ini,” katanya.
-Deasoka