Kota Kinabalu: Hanya 20 peratus pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabah dibenarkan bercuti menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah Farhan Sufyan Borhan berkata, jumlah itu menjadikan seramai 900 pegawai dan anggota diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan musibah atau kecemasan.
Katanya, disamping itu pihaknya turut meletakkan seramai 148 pelatih di beberapa BBP bersesuaian bagi membantu memantapkan lagi perkhidmatan JBPM sekiranya diperlukan.
“Menjelang Aidilfitri ini, kita hanya membenarkan sekitar 20 peratus pegawai dan anggota untuk bercuti manakala selebihnya diarahkan bertugas.
“Ia bagi menumpukan persediaan bukan saja kepada kejadian kebakaran tetapi juga kemalangan jalan raya yang kebiasaannya meningkat di musim perayaan,”katanya ketika ditemui, semalam.
Farhan berkata, pihaknya menjangkakan dengan keadaan cuaca ribut petir sejak akhir-akhir ini boleh akan menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan jalan raya.
Katanya, persediaan akan diletakkan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti selalu berlaku kemalangan jalan raya.
Sementara itu, Farhan berkata, JBPM Sabah juga turut memfokuskan perkampungan atas air yang membawa impak besar sekiranya berlaku kebakaran.
Katanya, kebiasaannya kebakaran yang berlaku di kawasan perkampungan atas air akan membabitkan jumlah rumah yang sangat banyak.
“Berdasarkan kejadian sebelum ini, kebakaran di kawasan perkampungan atas air akan membabitkan banyak rumah dan kesannya akan melibatkan ramai mangsa.
“Sebelum ini, kebakaran di Tawau memusnahkan 700 rumah, begitu juga 300 rumah di Kudat dan 100 rumah di Semporna baru-baru ini,”katanya.
-Deasoka