Bung Moktar balik kampung ziarah Ramadan di Kampung Bilit

Kinabatangan: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil kesempatan melakukan ziarah Ramadan di Kampung Bilit, di sini, sambil bertemu saudara mara dan penduduk kampung, semalam.

Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak di Kampung Bilit, Kinabatangan.

Ziarah sempena Ramadan di kampung kelahiran Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menjadi program kelazimannya, namun tidak dapat dilaksanakan sejak dua tahun lalu disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Bung Moktar berbual mesra dengan saudara-mara dan penduduk di Kampung Bilit, Kinabatangan.

Hanya pada tahun ini kesempatan berziarah dapat dilaksanakan setelah negara beralih ke fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Bung Moktar menziarahi kubur Allahyarham ayahnya, Radin Yatim di Kampung Bilit, Kinabatangan.

Kesempatan pulang ke kampung halamannya turut dimanfaatkan Menteri Kerja Raya negeri itu untuk menziarahi makam Allahyarham ayahnya, Radin Yatim yang dikebumikan di Kampung Bilit.

“Alhamdulillah tahun ini apabila kita berada dalam fasa peralihan ke endemik, saya berpeluang balik ke kampung halaman yang mana dua tahun lalu saya tidak berpeluang balik untuk ziarah saudara mara dan rakyat di sini kerana penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Bung Moktar singgah di bazar Ramadan Pekan Kota Kinabatangan.

Selain berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak bersama penduduk Kampung Bilit, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri kepada golongan asnaf serta kanak-kanak di kampung berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|