Tawau: UMNO akan meletak calon di kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sejajar kedudukannya sebagai kerusi tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak 2004.
Ketua bahagiannya, Andy Muhammad Suryady Bandy, berkata UMNO masih relevan dan menjadi pilihan utama rakyat di kawasan berkenaan.
“Secara tradisinya BN bertanding di Parlimen Kalabakan ini dan saya yakin untuk PRU akan datang kita akan bertanding juga.
“Kita mahukan kerusi ini dan saya fikir pucuk pimpinan pun sedia maklum dan tahu bahawa di kerusi Parlimen Kalabakan ini kekuatannya terletak pada BN,” katanya selepas mengagihkan 2,000 pek juadah berbuka puasa Barobbo Jagung secara pandu lalu di Jalan Utara, di sini, semalam.
Katanya, dengan kekuatan UMNO-BN yang konsisten, beliau yakin parti itu mampu mengambil alih kerusi berkenaan daripada Parti Warisan (WARISAN) yang kini disandang Ma’mun Sulaiman.
“Kita pernah bertanding di sini, menang tanpa bertanding dalam dua kali PRU, jadi saya fikir tidak nampak kebimbangan dan kegusaran sekiranya BN bertanding lagi di Parlimen Kalabakan.
“Ini kerana kita pun sudah tahu, kita boleh ukur sudah sejauh mana kekuatan kita berdasarkan empat atau lima kali siri pilihan raya sejak 2004,” katanya.
-Deasoka