Cubaan seludup rokok guna empat bot laju gagal

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok menggunakan empat bot laju di perairan daerah ini, semalam.

Keempat-empat bot laju berkenaan ditahan anggota Zon Maritim Semporna menerusi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.3 batu nautika timur Pulau Larapan, jam 5.30 pagi.

Empat bot yang digunakan untuk menyeludup rokok ke Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrima Hassan berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota mengatur gerak bot ronda ke lokasi dan mengesan serta menemui empat enjin sangkut ditinggalkan tanpa pengemudi atau pemilik.

Katanya, pengemudi percayai telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

Rokok seludup yang ditemui di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati semua empat bot tidak memiliki nombor pendaftaran dan juga turut menemui 380 karton rokok putih tanpa cukai yang dipercayai diseludup masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan.

“Semua rokok, bot serta enjin dianggarkan bernilai RM45,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas beliau lagi, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pemilik bot serta dalang disebalik kegiatan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai,” katanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hotspot’ terutama sempadan perairan negara.

“Langkah ini bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|