Pembabitan ibu bapa perlu dalam pemulihan OKU

Putatan: Pembabitan ibu bapa dan komuniti sangat penting dalam usaha pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata intervensi awal dapat mengurangkan risiko ketidakupayaan golongan OKU, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Shahelmey menyampaikan bakul Ziarah Ramadan kepada murid OKU di PDK Kem Lok Kawi sambil disaksikan Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Jelasnya, program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang ditubuhkan oleh kerajaan adalah sangat relevan bukan sahaja kepada kanak-kanak OKU tetapi juga kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU.

“Program PDK adalah satu strategi Kerajaan dalam membangunkan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

“PDK mengambil pendekatan penglibatan aktif oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat setempat atau komuniti terhadap usaha pemulihan insan-insan istimewa ini.

“Golongan ibu bapa kepada anak OKU terutamanya akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran cara pengendalian kanak-kanak istimewa dengan lebih berkesan selain dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Pangkalan Tentera Kem Lok Kawi, di sini, semalam.

Shahelmey juga berharap dengan adanya PDK akan dapat membantu dari segi kesejahteraan golongan OKU yang menjadi golongan sasar kementeriannya.

“Saya berharap PDK akan terus mengorak langkah untuk memberikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan kepada golongan OKU dalam menjana pembangunan OKU yang produktif serta kehidupan berdikari,” katanya.

Setakat Januari tahun ini, sebanyak 40 PDK ditubuhkan di Sabah yang memberi manfaat kepada seramai 2,386 orang OKU dan melibatkan 331 orang penyelia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|