Sistem amaran siren banjir tambah baik pengurusan bencana – PM

Sistem amaran siren banjir tambah baik pengurusan bencana – PM

Kota Kinabalu: Sistem Amaran Siren Banjir dicadangkan bagi menambah baik pengurusan bencana banjir untuk memastikan penduduk dapat bertindak segera jika berlaku banjir di sesuatu kawasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sistem itu akan diselaraskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau memberi contoh, di Sri Muda, Selangor, siren amaran ada dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Kerajaan juga akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pelaksanaan sistem berkenaan adalah antara cadangan penambahbaikan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam pengurusan banjir di negara ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) juga dicadangkan di stesen pemantauan paras air agar penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya.

Katanya, Ramalan Cuaca Berangka (Numerical Weather Prediction, NWP), selain program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) menerusi aktiviti latih amal banjir dan maklumat yang dihebah oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut dicadangkan dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan banjir.

Pada masa sama, katanya Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dilaksanakan sejurus selepas tamat Monsun Timur Laut (MTL) bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara.

“Bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan peningkatan tahap perlindungan atau kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kluster komunikasi strategik yang diterajui KKMM aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya MTL 2021/2022 dan usaha dipergiatkan sejak jangkaan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal.

Katanya, strategi komunikasi turut membabitkan promosi hebahan amaran dan situasi semasa, hebahan bantuan-bantuan kerajaan, mengenal pasti isu berbangkit dan ditangani bersama pelbagai agensi serta usaha mengesan berita palsu dan segera menyiarkan penafian.

“Platform yang digunakan adalah media massa, media sosial, saluran Jabatan Penerangan, turun padang, advokasi, penerbitan dan usaha-usaha libat urus.

“Penyelarasan usaha mobilisasi anggota Perkhidmatan Awam membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan telah melibatkan tenaga kerja hampir separuh daripada penjawat awam persekutuan dan negeri di seluruh negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|