Banjir di Sabah masih buruk, 3,329 mangsa dipindahkan di 29 PPS

Banjir di Sabah masih buruk, 3,329 mangsa dipindahkan di 29 PPS

Kota Kinabalu: Sebanyak 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan lebih 3,000 mangsa banjir dibuka di enam daerah terjejas banjir di Sabah setakat petang ini.

Kemaskini laporan banjir dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah setakat jam 5 petang ini menunjukkan mangsa banjir dipindahkan ke PPS ialah seramai 3,329 orang membabitkan 1,231 keluarga.

Katanya, Kota Marudu kekal mencatat mangsa banjir tertinggi yang dipindahkan iaitu seramai 2,765 penduduk membabitkan 13 PPS yang dibuka di daerah itu.

“PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan Dewan St Theresa masing-masing kekal dengan jumlah seramai 251, 253 dan 142 mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.

“PPS di bangunan Rukun Tetangga Salimandut kekal mencatat seramai 40 mangsa, Dewan Sekolah Menengah (SM) Advent Gohsen (210), Sekolah Rendah Agama (SRA) Damai (369), Dewan Longob (300), SK Ranau (565), Dewan Asin-Asin (72), Dewan Komuniti (167), Dewan Mosolog (162) SK Bengkongan (54) dan Dewan PPR Korongkom (180),” kata kenyataan itu.

Pitas daerah kedua tertinggi mencatat mangsa banjir iaitu seramai 216 yang ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan SK Salimpodon (39), Dewan Kampung Kusilad (64), SK Pekan 2 (67) dan Dewan Kampun Karabatasan (64).

Sementara itu, Telupid daerah ketiga tertinggi iaitu membabitkan seramai 159 mangsa yang dipindahkan ke enam PPS yang dibuka di daerah itu.

“PPS di Dewan Bakong-Bakong mencatat seramai lima mangsa, Dewan Kampung Rancangan Nangoh (31), Dewan Kampung Bauto (48), Dewan Kampung Maau (21), Dewan Kampung Kiabau (15) dan Dewan Kampung Bambangan (39),” kata kenyataan itu.

Paitan mencatat seramai 102 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS iaitu di SMK Pamol (20), Dewan Kampung Binsulung (45) dan Dewan Kampung Sungai-Sungai (37) manakala Beluran mencatat seramai 41 mangsa yang ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Kampung Balaban Jaya (38) dan Dewan Serbaguna Beluran (3).

Di Sandakan, sebuah PPS masih dibuka iaitu di Dewan SK Segeliud dengan menempatkan seramai 46 mangsa manakala sebuah lagi PPS yang sebelum ini menempatkan seramai 142 mangsa iaitu Masjid Nur Iman Sungai Memanjang sudah ditutup.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|