Pejalan kaki maut ketika melintas jalan

Pejalan kaki maut ketika melintas jalan

Kota Kinabalu: Seorang wanita maut dirempuh van ketika melintas jalan di hadapan RTM lama, Jalan Tuaran, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.52 pagi, mangsa, Aisah Hasim, 55, cedera di bahagian kepala dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah van dalam kejadian di hadapan RTM lama, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. Pix Ihsan PDRM

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati pemandu van lelaki berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Sembulan menghala ke Tamparuli.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan yang dipandunya berada di lorong tengah dan ketika hendak memotong terdapat sebuah kenderaan di hadapannya.

“Pemandu berkenaan tidak perasan ada seorang pejalan kaki berdiri di tengah jalan atau sedang melintas kerana keadaan jalan gelap serta lampu jalan tidak berfungsi sehingga menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.29 pagi oleh seorang doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian mangsa sendiri yang cuai ketika melintas dan tidak menggunakan jejantas pejalan kaki yang disediakan.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|