Sindiket seludup rokok tumpas

Sindiket seludup rokok tumpas

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 4,560 karton rokok putih bernilai RM156,000 di kawasan Sungai Merotai Kecil, di sini, 20 Oktober lalu.

Kejayaan rampasan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Maritim Malaysia Tawau yang sedang menjalankan rondaan Ops Pluto Timur dan Ops Sejahtera di perairan Tawau.

Dua bot laju membawa muatan rokok seludup ditahan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yengah berkata, ketika rondaan dijalankan, pihaknya mengesan sebuah bot laju bergerak dari Pulau sebatik menuju ke Tawau jam 4.45 pagi.

Katanya, menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot laju berkenaan bertindak memecut laju menuju masuk ke kawasan Sungai Merotai Kecil.

Komander Maritim Amiludin Yengah (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.

“Dalam keadaan gelap dan jarak penglihatan yang terhad, usaha mengejar bot berkenaan telah menemukan lokasi pemunggahan. Terdapat dua bot laju dan sebuah lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti pemunggahan rokok seludup.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, tekong dan kira-kira 15 suspek yang berada di lokasi kejadian bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran dan meninggalkan semua kotak dipercayai rokok tidak bercukai, dua bot laju dan sebuah lori kargo,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Lori kargo disyaki digunakan sindiket berkenaan turut dirampas.

Amiludin berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian itu menemukan 3,500 kotak rokok jenama Astro, 500 karton rokok jenama Asatu Kretek, 560 karton jenama Asatu Mild.

“Turut ditemukan iaitu dua bot kayu tidak berdaftar dengan enjin 200 kuasa kuda setiap satu serta sebuah lori kargo tiga tan.

“Semua barangan dan kenderaan yang digunakan sindiket itu dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967 atas kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai,” katanya.

Beliau berkata, nilai rokok yang dirampas berjumlah RM150,000 dan keseluruhan rampasan termasuk kenderaan kira-kira RM300,000.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam sindiket ini dan kita percaya bahawa sindiket penyeludupan ini mendapat bekalan rokok seludup dari negara jiran dengan modus operandi membawa masuk pada waktu sunyi dengan menggunakan bot berkuasa tinggi.

“Ini adalah kes kedua ada tahun ini membabitkan aktiviti penyeludupan rokok. Statistik tangkapan Zon Maritim Malaysia Tawau pada 2022 merekodkan 54 kes tangkapan pelbagai kesalahan umum,” katanya.

Sementara itu, dalam dua kes berasingan sebuah bot ‘Barter Trade’ dari Filipina dan sebuah bot kargo tempatan turut ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa permit yang sah, pada 21 Oktober lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|