PRU15: Tiket mahal halangan pelajar pulang mengundi

PRU15: Tiket mahal halangan pelajar pulang mengundi

Kota Kinabalu: Walaupun diberi cuti pelepasan untuk pulang mengundi pada PRU15, pelajar Sabah di Semenanjung mungkin tidak dapat memanfaatkan peluang itu berikutan masalah tambang penerbangan yang mahal.

Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah membangkitkan perkara itu berdasarkan realiti kadar semasa tambang syarikat penerbangan yang begitu mahal.

Presiden MARSIS, Mohd Shahrul Izzat Basri dan Timbalan Pengerusu GAMIS Sabah, Mohd Faizal Kambah, dalam satu kenyataan bersama berkata isu tambang menjadi kerisauan utama mahasiswa yang mungkin menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, cuti pelepasan selama lima hari untuk pulang mengundi itu tidak memberi apa-apa makna jika pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan yang mahal.

“Terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas satu inisiatif yang baik daripada kementerian untuk menggalakkan mahasiswa pulang mengundi pada PRU15.

“Namun, terdapat perkara yang mengecewakan mahasiswa khususnya kepada anak Sabah iaitu harga tiket penerbangan ke Sabah masih berada pada tingkat harga yang mahal dan bersifat harga ‘Yahudi’.

“Ini sebenarnya antara kerisauan kepada mahasiswa apabila mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini bersetuju supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari bermula pada 17 hingga 21 November depan kepada mahasiswa untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Mohd Shahrul Izzat berkata, isu tiket penerbangan mahal ke Sabah bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi sudah menjadi senario tahunan yang sering dibangkitkan berikutan belum ada jalan penyelesaian konkrit dan terancang diambil khususnya kerajaan Sabah.

“Sebelum ini MARSIS juga ada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini iaitu Harga Tiket Ke Borneo Mahal pada musim perayaan yang membebankan mahasiswa dan anak perantau untuk pulang menyambut hari raya Aidilfitri.

“Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Menteri Pengangkutan, Menteri Tugas – Tugas Khas dan Ketua Menteri kerana bimbang kepada mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tidak dapat pulang mengundi.

“Selain itu kebimbangan lain ialah objektif utama kementerian memberi cuti pelepasan lima hari tidak tercapai iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sebagai pengundi,” katanya.

Katanya, MARSIS dan GAMIS sangat mengambil berat kebimbangan itu dan berharap ada persetujuan serta perbincangan yang berfokus bersama syarikat penerbangan khusus untuk menyelesaikan isu tiket penerbangan yang mahal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|