Kerjasama antara pemimpin bawa perubahan dalam komuniti – Joniston

Kerjasama antara pemimpin bawa perubahan dalam komuniti – Joniston

Kiulu: Kerjasama dan persefahaman antara pemimpin penting untuk membawa perubahan yang membina dalam komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata situasi itu dapat dilihat di Kiulu, di mana penduduk kampung mendapat manfaat daripada pertimbangan dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai keperluan mendesak komuniti di sini.

Joniston dan Ghazali bersama peniaga Kiulu yang menerima sumbangan kanopi pada program Anak Muda Peduli di pekan Kiulu.

Beliau merujuk kepada penubuhan pejabat daerah kecil Kiulu yang dijanjikan oleh Hajiji sebagai respon kepada permintaan Joniston pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kepimpinan memerlukan hubungan kerjasama dan persefahaman yang utuh. Masyarakat memerlukan pemimpin yang boleh menyuarakan keperitan rakyat dan berusaha untuk melaksanakan penyelesaian.

“Hubungan kerjasama persefahaman sebegini juga mesti dipupuk antara pemimpin muda dan senior bagi menyumbang idea dan penyelesaian baharu dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti,” kata Joniston pada program Anak Muda Peduli di Pekan Kiulu, hari ini.

Beliau turut berkata Kiulu bakal mempunyai pejabat sekretariat mini bagi menyelaraskan perkhidmatan pentadbiran dan meningkatkan kecekapan, sambil menambah Ketua Menteri dijangka melakukan majlis pecah tanah tidak lama lagi.

Katanya, perkara itu tidak mungkin dicapai sekiranya tidak wujud persefahaman di antara pemimpin.

Joniston turut menekankan kepentingan mempunyai toleransi dan kerja berpasukan antara pemimpin dan masyarakat dalam usaha membangunkan komuniti setempat.

“Di Kiulu, kami bekerja keras untuk membangunkan pelancongan luar bandar. Daripada hanya empat pengusaha pada 2014, kini terdapat lebih 70 pengusaha pelancongan desa yang aktif di kawasan ini.

“Ini adalah hasil daripada kerjasama komuniti yang sentiasa memberi galakan antara satu sama lain. Makandengan itu, Kiulu hari ini mempunyai kekuatan dalam pelancongan berasaskan komuniti yang contoh kepada negeri lain,” katanya.

Bercakap mengenai inisiatif Anak Muda Peduli, Joniston memuji usaha murni Kelab Bandar Belia Tuaran (TYTC) dalam membantu masyarakat Kiulu.

TYTC yabg dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu bertujuan untuk menyokong komuniti luar bandar dengan mengenal pasti keperluan mereka.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi TYTC Mohammad Ghazali Hajiji yang menyerahkan sumbangan kanopi kepada peniaga Kiulu.

Ghazali berkata pihaknya melaksanakan program itu sejak sebelum pandemik Covid-19 dengan sebelum ini menyerahkan sumbangan telefon pintar kepada pelajar di Kiulu.

“Kami berterima kasih kepada Datuk Joniston atas sokongan beliau dalam program murni ini dan kami berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|