Pemandu terperangkap, lori dihempap lori

Pemandu terperangkap, lori dihempap lori

Tuaran: Seorang pemandu lori 10 tan terperangkap selepas kenderaan dipandunya dihempap sebuah lagi lori yang terjatuh dari lereng bukit di Taman Sri Gayang, Jalan Sulaman, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, pemandu berusia 57 tahun terbabit dilaporkan bersama sebuah lagi lori 10 tan sedang bergerak di jalan di bahagian bawah bukit berkenaan.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori.

Bagaimanapun, sebuah lagi lori yang dipercayai hilang kawalan terjatuh dari lereng bukit sebelum menghempap kedua-dua lori berkenaan.

Dua daripada pemandu lori berkenaan dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan sehingga terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 9.27 pagi.

Keadaan lori 10 tan yang terbabit kemalangan.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan tiga lori 10 tan yang membawa muatan tanah apabila sebuah lori terjatuh dari lereng bukit dan menghempap dua lagi lori yang berada di lereng bukit berkenaan.

“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat iaitu pemandu lori yang dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori yang dihempap berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.40 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|