Semporna: Seorang pemandu bot pelancong maut manakala enam lagi penumpang berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki terbakar di perairan berhampiran Kampung Simunul, di sini.
Mangsa yang maut berusia 52 tahun ditemui di dasar laut manakala enam individu lain mengalami cedera ringan dan trauma akibat kejadian itu.
Semua mangsa difahamkan adalah pekerja di sebuah pusat peranginan dan dikejarkan ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans.
Itu situasi yang digambarkan berlaku ketika Kursus Pengurusan Bencana anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang dilaksanakan di daerah ini, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK) JAPEN, Suziyana Sukri berkata, jabatannya melalui Majlis Keselamatan negara (MKN) berperanan mengendali dan menyediakan pusat media di tempat kejadian yang diletakkan di dalam Zon Hijau.
“Pusat media ini dilengkapi ruang sidang media dan kemudahan untuk petugas media mendapatkan informasi terkini dari sumber yang sahih.
“JAPEN juga bertanggungjawab menyelaras pergerakan media dan memastikan wakil-wakil media massa berada di dalam zon hijau sahaja dan tidak dibenarkan masuk ke Zon Kuning atau Merah kecuali dengan kebenaran Komander Operasi Bencana,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya JAPEN juga berperanan mengeluarkan fakta penting secara berterusan kepada wakil media bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai serta menangkis maklumat dan berita palsu yang tersebar semasa kejadian bencana, di samping menyelaras sesi sidang media.
Sementara itu, Penolong Pengarah MKN Sabah, Aidalina Mahili berkata, MKN berperanan sebagai focal agensi dalam memastikan agar Arahan MKN berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat diaktifkan dan dipatuhi ketika kejadian bencana.
“Sebaiknya, latih amal ini dapat dilaksanakan secara berkala agar pemahaman dalam kalangan agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana selari dengan apa yang telah digariskan dengan Arahan MKN 20.
“Simulasi juga dapat memberikan gambaran yang hampir serupa sekiranya sesuatu tempat itu mengalami bencana dan padanan keperluan aset serta sumber manusia dapat disemak dari semasa ke semasa.
“Harapan saya, pada masa akan datang adalah dengan menekankan lagi aspek cabaran cabaran baharu dalam pengurusan semasa seperti komunikasi strategik seperti implikasi berita palsu dan cara mengatasinya serta adaptasi teknologi terkini dalam menganalisa dan meramal bencana.
“Perlu ditekankan juga, peranan komuniti dan kesedaran awam dalam menghadapi bencana selaras dengan pemerkasaan Community Based Security Management oleh MKN,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, latih amal itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak agar sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa juga bencana.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah.
-Deasoka