SICC rancang jadikan Sabah sebagai destinasi pusat makanan

SICC rancang jadikan Sabah sebagai destinasi pusat makanan

Kota Kinabalu: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) merancang untuk menjadikan Sabah sebagai satu destinasi pusat makanan kepada pengunjung tempatan dan luar negara berikutan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, Sabah mempunyai kepelbagaian jenis makanan daripada pelbagai etnik serta berjiran dengan beberapa negara ASEAN.

Rosmawati ketika ditemui media di SICC.

“Kami berharap orang Sabah, Malaysia dan orang luar nampak SICC ini sebagai tempat makan yang berkualiti dan kita menyediakan standard antarabangsa dari segi makanannya yang sudah pasti bersih dan halal.

“Jadi sebab itulah sebenarnya kami merancang, Sabah dijadikan sebagai satu tempat destinasi makanan sebab kita ada beberapa etnik, jadi kita boleh pelbagaikan makanan dan ada kaitan juga dengan negara jiran dan mungkin kita boleh jadikan sebagai pusat pameran makanan,” katanya ketika ditemui media di SICC, semalam.

Bufet Ramadan yang disediakan di SICC mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung berikutan tiga konsep yang diketengahkan.

Mengulas mengenai juadah yang disediakan di SICC sempena bufet Ramadan kali ini, Rosmawati berkata, SICC menyediakan sebanyak 700 menu berdasarkan tiga konsep utama yang disediakan iaitu masakan makanan diraja, makanan ASEAN dan makanan asli dari Sabah.

“Konsep bufet Ramadan SICC tahun ini banyak kelainannya berbanding tahun lalu dengan mengambil kira pembukaan semula sempadan negara ketika ini.

“Tahun ini kita menyediakan rasa ASEAN di mana kita membawa masuk menu dari Thailand, Jepun, China dan Korea jadi jika ada yang teringin makan makanan tersebut, mereka boleh datang ke sini.

“Konsep ini kita bina untuk produk pelancongan akan datang di mana dengan pembukaan sempadan, ejen pelancongan akan membawa pelancong mereka berkunjung ke SICC,” katanya.

Beliau memberi jaminan, makanan yang disediakan sepanjang Ramadan untuk pelanggan berbuka puasa adalah berkualiti selain bersih dan halal.

“Kekuatan di SICC adalah chef kita yang sangat bersemangat dengan hasil kerja mereka selain mereka ini pernah bekerja di hotel antarabangsa.

“Jadi semua pengalaman dan minat mereka itu yang menjadikan makanan kita seperti masakan di rumah, seperti ibu masak sedap kerana sayang, maka chef kami masak kerana sayang kepada pelanggannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|