QSB rancang bangunkan projek hidro mini, RE

QSB rancang bangunkan projek hidro mini, RE

Kota Kinabalu: Qhazanah Sabah Bhd (QSB) sedang dalam rangka untuk membabitkan diri dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui pelbagai cadangan inisiatif penjanaan tenaga secara mapan di negeri ini.

Menerusi inisiatif berkenaan, syarikat pelaburan kerajaan negeri itu merancang untuk melaksanakan beberapa projek penjenaan tenaga melalui hidro mini, selain tenaga solar dan biomas.

Pengurus Besar Kanan WHSB Ventures Sdn Bhd, Jeremy Ronald E Kimsin, berkata pihaknya berminat untuk meneroka potensi dalam penjanaan tenaga mapan di Sabah.

“Sabah memang dikenali sebagai negeri yang berpotensi untuk pembangunan tenaga mapan yang ketika ini belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ramai yang tahu bahawa Sabah memiliki sumber angin dan geoterma yang berdaya maju dan berpotensi untuk menjana tenaga selain solar, hidro dan biomas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

WHSB Ventures Sdn Bhd adalah anak syarikat QSB.

Jeremy berkata, projek penjanaan tenaga berasaskan biomas boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan sisa buangan sektor perladangan Sabah, khususnya industri kelapa sawit.

Katanya, QSB menerusi WHSB terbuka untuk membangunkan projek penjanaan tenaga yang mapan atau lestari terhadap alam sekitar untuk jangka masa panjang.

Berikutan itu, katanya QSB kini sedang dalam perbincangan dengan pelabur berpotensi yang berpengalaman dan memiliki latar belakang kewangan yang kukuh untuk membangunkan projek penjanaan tenaga.

Beliau berkata, ia termasuk untuk projek janakuasa hidro berskala kecil yang dikenal pasti sesuai dilaksanakan di beberapa sungai di kawasan pantai barat dan daerah pedalaman Sabah.

“Kita mengenal pasti sungai tertentu di Ranau, Kota Belud, Beaufort, Tenom dan Keningau untuk projek hidro berskala kecil dengan kapasiti penjanaan tenaga di bawah 30 megawatt (MW),” katanya.

Jeremy berkata, cadangan projek RE yang dilaksanakan QSB terletak di kawasan luar bandar, sebagai satu cara untuk syarikat itu membantu komuniti setempat menikmati manfaat daripada projek yang dilaksanakan.

“Selepas mengenal pasti tapak dan sebelum meneruskan langkah selanjutnya, kita akan mendapatkan maklum balas komuniti mengenai projek terbabit.

“Kita akan cuba sebanyak mungkin untuk mengambil kira maklum balas dan kebimbangan mereka dalam reka bentuk dan perancangan janakuasa bagi meminimumkan sebarang kesan yang mungkin berlaku terhadap kehidupan dan aktiviti sosio ekonomi mereka,” katanya.

Katanya, komuniti setempat bakal mendapat manfaat daripada pembinaan hidro mini atau mana-mana janakuasa RE lain yang dibangunkan berdekatan penempatan mereka.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan projek seumpama itu di kawasan terpencil, ia akan menjadikan lokasi terbabit dapat diakses dengan lebih baik dengan pembinaan jalan masuk ke loji janakuasa.

“Jalan raya itu akan membantu komuniti tempatan untuk membuka tanah bagi aktiviti pertanian.

“Sebagai tambahan, penambahbaikan akses juga dapat mengembangkan aktiviti eko pelancongan sekali gus membantu mengukuhkan pendapatan komuniti di sana selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Jelasnya, QSB juga akan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti pemeriksaan kesihatan, menaja acara keagamaan dan kebudayaan di kampung yang berdekatan dengan tapak loji janakuasa dicadangkan.

Beliau berkata, QSB mahu komuniti merasakan bahawa suara mereka didengar dan ada manfaat yang ketara kepada mereka.

Selain itu, Jeremy berkata QSB juga berminat untuk mewujudkan kemudahan pelupusan sisa industri memandangkan belum ada fasiliti seumpama itu di Sabah.

Katanya, selama ini sisa industri dikumpul dan dihantar ke dua pusat pengurusan sisa berlesen iaitu di Sarawak dan Negeri Sembilan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|