PPM gagalkan penyeludupan 1.3 tan daging sejuk beku

PPM gagalkan penyeludupan 1.3 tan daging sejuk beku

Semporna: Cubaan dua lelaki menyeludup keluar 1.3 tan daging sejuk beku berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan laut utara Pulau Pom-Pom, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 46 tahun yang menaiki sebuah bot ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik ditahan, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui beberapa kotak daging ayam dan lembu.

Katanya, semua makanan sejuk beku berkenaan dianggarkan seberat 1,300 kilogram yang dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina.

“Semua daging yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,900 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek terus ditahan untuk membantu siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, semua daging serta bot berkenaan turut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna.

Katanya, kes akan turut dirujuk ke Jabatan Veterinar Semporna untuk membantu siasatan lanjut.

“Operasi pemantauan kegiatan penyeludupan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|