PGA rampas dua lori bawa 10,600 liter petrol tanpa kelulusan sah

PGA rampas dua lori bawa 10,600 liter petrol tanpa kelulusan sah

Sandakan: Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua pemandu lori dengan muatan 10,600 liter petrol tanpa permit di tepi jalan dekat lampu isyarat, Jalan Sungai Manila, Batu 12, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 10.15 malam yang dijalankan Unit Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan, turut menahan seorang lelaki mengaku pemilik minyak petrol berkenaan.

Tong biru berisi petrol yang dimuat dalam dua lori dirampas sepasukan Unit Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan.

Operasi itu diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika melakukan rondaan di kawasan Batu 16, Kampung Gum-Gum, di sini, mengesan dua lori yang mencurigakan sedang bergerak menuju ke arah Sandakan.

Tiga lelaki berusia 25, 31 dan 35 tahun yang ditahan.

Katanya, sepasukan Unit Task Force Perisikan Batalion 15 Sandakan kemudian mengekori dua lori berkenaan sebelum bertindak menahan di tepi jalan dekat lampu isyarat, Jalan Sungai Manila, Batu 12.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lori itu membawa tong warna biru disyaki berisi minyak petrol bersubsidi.

Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati sebanyak 56 tong biru berisi 10,600 liter minyak petrol bersubsidi tanpa dokumen yang sah berada di dua lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Abdul Rani berkata, kedua-dua pemandu lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pemilik petrol yang dibawa menggunakan dua lori itu.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk petrol dan dua lori bernilai RM121,730,” katanya.

Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan tiga lelaki berusia 25, 31 dan 35 tahun dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|