Hati-hati terima panggilan mengenai pinjaman, cukai elak tertipu

Hati-hati terima panggilan mengenai pinjaman, cukai elak tertipu

Kota Kinabalu: Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan taktik penipuan melalui panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi lain yang berkaitan.

Peringatan itu disuarakan Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berikutan peningkatan kes penipuan atau ‘scammer’ membabitkan mangsa di Sabah sejak kebelakangan ini.

Katanya, ramai yang mudah percaya dan akhirnya terperangkap dengan panggilan palsu berkaitan pinjaman, cukai dan pengubahan wang haram yang dibuat oleh kumpulan penipuan terbabit sehingga menyebabkan kerugian kewangan yang besar.

“Orang ramai perlu faham bahawa penguat kuasa tidak membuat siasatan melalui panggilan telefon, sebaliknya meminta individu berkenaan hadir ke balai polis atau pejabat LHDN.

“Mereka ini (scammer) membuat panggilan dengan pelbagai dakwaan seperti ada cukai tertunggak, nama digunakan untuk pinjaman bank, akaun bank diguna untuk aktiviti dadah dan pengubahan wang haram.

“Jangan sesekali percaya dengan panggilan seperti ini sebaliknya tamatkan perbualan dan telefon ke balai berdekatan atau bank yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada mana-mana pihak boleh meminta butiran akaun bank, nombor pin atau apa sahaja maklumat berkaitan perbankan daripada orang ramai melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas.

Dalam hal lain, beliau turut mengingatkan pengguna di negeri ini supaya bijak mengenal pasti peniaga yang diyakini menerusi platform dalam talian sebelum memuktamadkan sebarang pembelian.

“Pembelian depan matapun ramai yang tertipu, inikan pula ‘online’, kedaipun tidak ada. Jadi macam mana?

“Pengguna perlu lebih berhati-hati dan berani menggunakan hak pengguna sekiranya tertipu,” katanya.

David berkata, antara penipuan jual beli online yang sering berlaku termasuklah kualiti produk yang tidak sama seperti diiklankan, selain pengguna tidak menerima barangan dijanjikan selepas selesai proses transaksi wang.

“Budaya seperti ini yang kita risaukan. Asalkan tak kena tangkap kita lihat makin ramai yang berani menjadi penipu. Ada juga yang dikesan hanya mula menipu selepas berjaya meyakinkan pelanggan pada mulanya. Ini sesuatu yang tidak betul.

“Jadi, kita harus mengamalkan etika dan integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat bagi menghindari kejadian sebegini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar memanfaatkan hak masing-masing jika diperdaya peniaga online termasuk mendesak pemulangan wang atau merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|