Rela wujud ‘dapur syurga’ untuk mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya

Rela wujud ‘dapur syurga’ untuk mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya

Tawau: Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mewujudkan ‘Dapur Syurga’ bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

Inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan penduduk kampung berkenaan.

Liew (dua kiri) ketika meninjau tempat memasak yang disediakan untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

Pesuruhjaya RELA Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, inisiatif itu dijalankan kerana prihatin dengan nasib semua mangsa kebakaran yang ketika ini menyambut bulan Ramadan.

“Saya sudah mengarahkan anggota Rela untuk menyediakan makanan bagi memastikan semua mangsa dapat menjalankan ibadah bulan Ramadan dengan baik.

“Lebih 1,000 mangsa kebakaran akan menerima manfaat daripada penyediaan makanan menerusi dapur syurga yang diwujudkan ini,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mewujudkan satu lagi dapur syurga di kawasan kampung ini supaya semua mangsa boleh mendapatkan makanan sahur dan berbuka puasa.

“Kawasan dapur yang sedia ada hanya menumpang di perkarangan masjid sahaja dan ruangnya juga tidak besar.

“Justeru, perlunya ada satu lagi dapur syurga diwujudkan bagi menampung penyediaan makanan sepanjang bulan Ramadan ini, memandangkan jumlah mangsa yang ramai,” katanya.

Liew merayu kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam supaya dapat membantu menyediakan bahan mentah untuk dimasak di sini.

“Diharapkan semua pihak tidak kira bangsa dan agama supaya menyumbang sepanjang bulan Ramadan ini kerana mangsa masih belum mempunyai kediaman untuk mereka memasak.

“Saya juga berharap semua mangsa dapat bersabar dan jangan berebut semasa mengambil makanan agar tidak timbul sebarang masalah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|