Hati-hati berkunjung ke Bazar Ramadan, pusat beli belah – Masidi

Hati-hati berkunjung ke Bazar Ramadan, pusat beli belah – Masidi

Kota Kinabalu: Orang ramai di negeri ini diingatkan supaya berhati-hati apabila berkunjung ke Bazar Ramadan dan pusat membeli belah bagi mengelak jangkitan sporadik Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kehadiran ramai pengunjung menjadikan lokasi terbabit sesak dan ia menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 tinggi.

“Peratusan jangkitan sporadik kembali meningkat hari ini kepada 55 peratus setelah berada sekitar 43 peratus semalam.

“Seperti yang diperingatkan sebelum ini, peratusan jangkitan sporadik yang tinggi bermakna risiko jangkitan juga akan bertambah tinggi, khususnya di tempat yang sesak dengan orang ramai.

“Tempat awam yang perlu kita berhati hati ialah Bazaar Ramadan dan pusat membeli belah. Ramai pengunjung akan berpusu-pusu ke tempat sesak ini untuk membeli-belah. Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah meneruskan trend penurunan kes Covid-19 dengan angka jangkitan baharu sebanyak 140 kes, penyusutan sebanyak 27 kes berbanding semalam.

Katanya, secara keseluruhan kedudukan di hampir semua daerah semakin bertambah baik walaupun terdapat perubahan turun naik jumlah kes baharu setiap hari.

“Hari ini cuma empat daerah yang mencatat kes baharu dua angka iaitu Kota Kinabalu (37), Tuaran (21), Tenom (13) dan Penampang (12).

“Sebanyak 17 daerah mencatatkan kes baharu satu angka yang mana 16 daripada daerah tersebut hanya merekodkan kes baharu antara satu hingga lima kes sahaja.

“Enam daerah iaitu Kinabatangan, Nabawan, Keningau, Tongod, Kalabakan dan Putatan tidak mencatat sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.

Katanya, sebanyak 135 kes atau 96.43 peratus daripada 140 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dab 2, diikuti empat kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5, manakala tiada kes baharu direkodkan dalam Kategori 3.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 4 April 2022
Sabah 140 (167)

Kota Kinabalu 37 (26)
Tuaran 21 (14)
Tenom 13 (4)
Penampang 12 (17)
Kuala Penyu 9 (0)
Tambunan 5 (12)
Papar 5 (21)
Sandakan 5 (12)
Tawau 5 (5)
Beaufort 4 (3)
Kota Marudu 3 (8)
Sipitang 3 (7)
Kudat 3 (2)
Kota Belud 3 (2)
Beluran 2 (3)
Telupid 2 (0)
Lahad Datu 2 (2)
Ranau 2 (7)
Pitas 2 (1)
Semporna 1 (1)
Kunak 1 (0)
Kinabatangan 0 (1)
Nabawan 0 (5)
Keningau 0 (3)
Tongod 0 (1)
Kalabakan 0 (0)
Putatan 0 (10)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 3 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|