Jangan beli tenggiling, lapor kepada pihak berkuasa

Jangan beli tenggiling, lapor kepada pihak berkuasa

Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyeru orang ramai supaya menghentikan pembelian tenggiling dan melaporkannya kepada pihak berkuasa jika berlaku aktiviti jual beli haiwan terlindung itu.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, tenggiling antara haiwan yang disenaraikan dalam Jadual 1, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997) sebagai dilindungi sepenuhnya selain tembadau dan orkid selipar.

“Membeli tenggiling dengan niat untuk menyelamatkannya daripada dibunuh menunjukkan bahawa kesedaran orang awam sedang meningkat dalam menyayangi hidupan liar.

“Ia juga dilihat sebagai satu tindakan yang mulia. Namun, JHL menyeru agar tindakan itu tidak dilakukan kerana ia akan lebih menggalakkan penjenayah hidupan liar memburu dan menjual tenggiling secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan akhbar bertajuk ‘KK restaurateur pays RM200 to rescue pangolin’ semalam.

Sehubungan itu, Augustine berkata, membeli hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya juga merupakan satu kesalahan.

Katanya, merujuk kepada Sekyen 48(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, membeli haiwan atau tumbuhan yang dilindungi dibenarkan dengan syarat tertentu.

“Namun, seksyen ini tidak terpakai bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti tenggiling, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

“Sesiapa yang didapati bersalah menjual/membeli tenggiling, boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.

“Kami menghargai keprihatinan orang ramai yang sayang kepada hidupan liar tetapi, sebarang kejadian jenayah hidupan liar, hendaklah dilaporkan dengan serta merta. Dengan cara itu saja, kita sama-sama dapat membanteras pemburuan haram,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|