Pusat Sains Negara, U-Science UMS wujudkan kerjasama strategik

Pusat Sains Negara, U-Science UMS wujudkan kerjasama strategik

Kota Kinabalu: Lawatan kerja rombongan Pusat Sains Negara (PSN) ke U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mewujudkan kerjasama yang lebih strategik di antara kedua-dua pihak.

Ketua U-Science, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, kunjungan itu bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik selain sesi perkongsian maklumat antara kedua belah pihak.

Zawawi (berdiri tujuh kiri) dan kakitangan U-Science UMS bersama rombongan PSN.

“Semasa menerima kunjungan ini, kita telah memberi penerangan mengenai usaha yang dijalankan U-Science termasuk pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Exhibit@UMS: The Beginning yang berlangsung sejak 23 Mac hingga 27 Mei ini.

“U-Science juga telah menyatakan hasrat kepada PSN untuk memeterai kerjasama lebih mendalam seperti menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menguatkan lagi hubungan kerjasama dua hala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, buat masa ini, PSN juga telah menempatkan beberapa bahan di ruang pameran U-Science.

“Selain itu, PSN sedang menilai keberfungsian dan kesesuaian beberapa bahan pameran lain untuk dipindahkan ke sini.

“Dengan kerjasama yang lebih strategik, saya percaya penganjuran program-program untuk membudayakan STEM kepada masyarakat Sabah boleh dirangka dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Terdahulu, rombongan PSN yang diketuai Penolong Pengarah Seksyen Pameran, Norhafeza Husain turut dibawa melawat ke Taman Eko Sains Sekolah Kebangsaan Kundasang dan Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK).

Zawawi dalam pada itu berkata, ia bagi memperlihatkan projek yang dibangunkan U-Science bersama masyarakat di kawasan tersebut.

“Kita berterima kasih atas kesudian PSN untuk membuat lawatan kerja dengan UMS,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zawawi turut mempelawa orang ramai ke Pameran STEM Exhibit@UMS: The Beginning yang kini dibuka kepada umum secara percuma.

Katanya, pameran itu diadakan di U-Science, Bangunan Perpustakaan UMS sehingga 27 Mei depan dan dibuka setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula jam 9.30 pagi hingga 4 petang.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dimajukan ke e-mel uscience@ums.edu.my,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|