Siapa PM Ke-10 belum diputuskan lagi

Siapa PM Ke-10 belum diputuskan lagi

Kuala Lumpur: Belum ada sebarang keputusan mengenai siapa Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu persekutuan setakat ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi.

Pada sidang medianya di luar Istana Negara, Anwar yang dicalonkan PH sebagai bakal Perdana Menteri Ke-10 berkata, Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan baginda.

“Ketika menghadap tuanku, baginda menekankan bahawa perlu ada kesepakatan dan kerjasama semua pihak supaya kerajaan yang akan dibentuk kukuh dan menumpukan dalam usaha menjaga kepentingan rakyat serta soal ekonomi.

“Kerajaan yang akan dibentuk juga harus mewakili semua kaum, agama dan wilayah, iaitu perlu inklusif,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata baginda Yang di-Pertuan Agong akan membuat pertimbangan mengenai semua aspek sebelum membuat keputusan.

Katanya, dalam perkara itu tiada tempoh masa ditetapkan.

Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 4.30 petang tadi setelah tiada keputusan mengenai siapa Ahli Parlimen yang memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 kerusi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri melalui sokongan akuan berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara sehingga jam 2 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|