30 Ahli Parlimen BN dititah menghadap Agong esok

30 Ahli Parlimen BN dititah menghadap Agong esok

Kuala Lumpur: Seramai 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin lewat petang ini, sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada jam 4.30 petang tadi.

Katanya, sesi menghadap Ahli Parlimen BN itu dibuat secara individu yang dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok (23 November 2022) di Istana Negara.

“Proses ini adalah bertujuan supaya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|