Pemimpin PN, PH diseru bentuk gabungan

Pemimpin PN, PH diseru bentuk gabungan

Penampang: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dirayu agar membentuk sebuah gabungan besar untuk membina Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil.

Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kepayan, Jafery Jomion berkata, gabungan besar itu membabitkan 155 kerusi bagi kedua-dua blok, tidak termasuk kerusi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu enam kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi dan lain-lain.

“Ini berikutan dengan beberapa kenyataan pemimpin Pusat BN/UMNO dan negeri yang dilihat sudah memulakan api persengketaan yang akan membakar rumah politik yang telah dibina demi mendapat kepanasan daripada mati kesejukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau mendakwa, tindakan pemimpin UMNO itu adalah bimbang kes mahkamah diteruskan sekiranya mereka menyokong PN sebagai Kerajaan Persekutuan, berbanding PH yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Secara lisannya, beliau akan memberi perlindungan kepada mereka sekiranya PH mendapat sokongan dari BN selepas pilihan raya.

“Ini seperti yang telah ditularkan di media sosial melalui rakaman perbualan antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) Presiden UMNO yang mengelarkan Anwar Ibrahim sebagai cikgunya,” katanya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya PH dan PN bekerjasama untuk mengubur dan mengajar pemimpin BN/UMNO yang menjadi duri dalam daging semasa pemerintahan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri terus ditekan untuk membubarkan Dewan rakyat ketika negara berdepan dengan masalah banjir demi menyelamatkan diri sebelum dijatuhkan hukuman.

“Sepatutnya pemimpin PH dan PN bersatu hati memberi pengajaran kepada UMNO dengan mengunakan 30 kerusi mereka sebagai pembangkang supaya negara lebih stabil.

“Bukannya memberi peluang kepada mereka membentuk gabungan BN dan PH sebagai kerajaan campuran yang ditolak sendiri oleh orang Melayu berikutan dengan kekalahan teruk UMNO/BN pada Sabtu lalu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jafery berpendapat bahawa GRS dan Parti Warisan (Warisan) sebagai parti tempatan bekerjasama sebagai kerajaan negeri yang baharu atau GRS bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali lagi.

Tambahnya, ia demi menghormati sistem demokrasi berperlembagaan sekiranya tiada jalan penyatuan kerjasama daripada semua pihak atau parti politik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|