Shahidan akan menentang calon BN di Arau?

Kuala Lumpur: Teka-teki calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terjawab sudah apabila nama mereka diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Paling mengejutkan apabila beberapa Menteri Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ digugurkan sebagai calon selepas Ahmad Zahid dalam ucapan awalnya memaklumkan mahu mempertengahkan calon muda bagi menghadapi PRU-15 kali ini.

Antara paling hangat diperkatakan adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga penyandang kerusi Parlimen P003 Arau.

Tindakan beliau terlebih dahulu menutup semua Bilik Gerakan BN Arau dan menurunkan bendera parti sebelum pengumuman dibuat Ahmad Zahid, terjawab apabila namanya tidak dicalonkan lagi.

Calon BN di kerusi berkenaan kali ini diamanahkan kepada muka baru, Datuk Rozabil Abd Rahman untuk ditandingi pada PRU-15.

Rozabil adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis dan juga bekas Ketua Pemuda Arau yang cukup dikenali dengan panggilan ‘Tok Ben’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Untuk makluman, Parlimen Arau mula dipertandingkan pada 1974 dan Shahidan menjadi penyandang kerusi berkenaan bermula pada PRU-7, PRU-8, PRU-13 dan PRU-14.

Bagaimanpun, Shahidan ketika bercakap kepada media, semalam, memaklumkan akan bertanding mengekalkan kerusi berkenaan walaupun tanpa persetujuan Umno.

Beliau turut mengesahkan ada menerima beberapa tawaran daripada parti lain yang mahukannya bertanding mengekalkan kerusi kawasan itu.
Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) masih belum mengumumkan calon mewakili gabungan parti itu di Parlimen Arau.

Spekulasi ini menguatkan jangkaan ramai bahawa Menteri Wilayah Persekutuan itu akan bertanding atas tiket PN, seterusnya menentang calon BN yang diumumkan Ahmad Zahid.
Terbaru, Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli, memberitahu kekosongan itu (calon PN) disebabkan rundingan antara gabungan itu dan PAS Pusat dengan Shahidan.

“Betul, PN nak beri laluan kepada Shahidan tetapi kita tunggu ‘lampu hijau’ daripada PN dan PAS Pusat.
“Cadangannya lebih sebegitu, apa pun kita perlu tunggu keputusan kedua-dua pihak mengenai perkembangan ini,” katanya memetik laporan media, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|