Polis Penampang tumpas sindiket, rampas 3.7 kilogram syabu

Penampang: Satu rangkaian sindiket pengedaran dadah berjaya dilumpuhkan polis selepas menahan tiga individu di dua lokasi berasingan, di sini, 26 Oktober lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM130,000.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek pertama berusia 22 tahun ditahan dalam serbuan jam 1.30 pagi di sebuah rumah di Beverly Hills Apartment.

Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 3,752 gram yang disembunyikan di dalam sebuah kotak.

“Semua dadah berkenaan dibungkus rapi di dalam plastik teh cina dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun di kawasan bangunan TI Bundusan pada jam 7.05 malam,” katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan turut mendapati, kumpulan berkenaan dipercayai aktif lebih kurang dua bulan lalu dengan mengedarkan dadah di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau.

“Polis turut merampas empat kenderaan jenis Perodua Alza, Proton X50 dan Proton Persona serta Toyota Land Cruiser.

“Polis turut berjaya merampas wang tunai sebanyak RM119,600 dan rantai emas bernilai RM21,000. Ia menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM480,700,” katanya.

Mohd Haris berkata, siasatan awal, ketiga-tiga suspek dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah untuk pengedar dalam kuantiti lebih kecil.

Katanya, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan juga didapati negatif.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, ketiga-tiga suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Semua dadah ini boleh menampung keperluan lebih 18,000 penagih dadah,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|