PRU15: Ustaz Kazim Elias tarik diri wakili BN di Parlimen Larut

Kuala Lumpur: Pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan barisan calon parti bagi mengharungi PRU-15 kali ini dianggap mengejutkan ramai pihak.

Selain beberapa barisan menteri yang digugurkan, lebih 85 peratus muka baru ditampilkan bagi menghadapi persaingan daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang menjadi perhatian adalah calon kerusi P056 Parlimen Larut apabila BN mempertaruhkan pendakwah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias atau UKE.

Beliau akan menentang penyandang yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Namun, pendakwah bebas itu mengambil keputusan menarik diri, hari ini, dan tempatnya digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Shaarani Mohamad.

“Mohd Shafiq menggantikan Mohammad Kazim yang membuat keputusan menarik diri,” katanya.

Dalam pada itu, UKE dalam laman Facebook miliknya melahirkan rasa kecewa terhadap cercaan orang ramai terhadap dirinya.

“Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” katanya.

Terdahulu, pada PRU-14 lalu, Hamzah yang juga calon BN ketika itu menang 18,184 undi dengan majoriti 4,486 undi menewaskan calon PAS, Abu Husin (13,698 undi) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Khairil Anuar (7,738 undi).

Bagaimanapun, Hamzah mengambil keputusan keluar BN dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) apabila BN tewas serta gagal membentuk kerajaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|