KSTI adakan jelajah SMJ KSTI tahun depan

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dijangka akan mengadakan jelajah Sabah Maju Jaya (SMJ) KSTI di beberapa daerah terpilih pada tahun hadapan.

Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman berkata, ia sebahagian daripada usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selain penganjuran Karnival Sains Sabah (KSS).

“Selain daripada program KSS yang akan kita teruskan, pada tahun hadapan kita merancang untuk mengadakan jelajah SMJ KSTI di beberapa daerah yang terpilih di seluruh negeri Sabah.

“Hasrat kami adalah untuk membawa semua program-program berkenaan pembudayaan STI kepada masyarakat di kawasan daerah-daerah khususnya daerah-daerah yang jauh,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Karnival Sains Sabah Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.

Beliau berharap agar inisiatif dan kerjasama yang terjalin dengan pelbagai pihak mampu menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengambil bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Apa yang berlaku hari ini, jumlah pelajar-pelajar Sabah yg mengambil bidang STEM agak menurun dari masa ke semasa dan perkara ini agak membimbangkan.

“Oleh itu, kita berkerjasama dengan smua pihak, sama ada di peringkat nasional mahupun negeri agar program-program berkaitan STEM dapat kita perbanyakkan lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran KSS pada tahun ini mendapat respon menggalakan dengan penyertaan daripada seluruh Sabah.

“Pada peringkat awal, kita menjangkakan seramai sejuta orang akan mengambil bahagian.

“Namun, hasil kerjasama erat daripada semua pihak kita berjaya melepasi anggaran tersebut dan mencapai penyertaan lebih daripada 1.25 juta masyarakat di seluruh negeri ini,” katanya lagi.

Tambahnya, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang, dengan pendekatan baharu untuk mencapai lebih ramai orang, khususnya mereka yang berada di luar bandar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|