PRU15: Tugas berat KJ ‘memadamkan’ 26,634 majoriti penyandang kerusi P107 Sungai Buloh

Kuala Lumpur: Desas desus kerusi bakal ditanding Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, akhirnya terjawab apabila dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen P107 Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi P131 Parlimen Rembau itu kelihatan tersenyum dan mengangkat tangan sebaik namanya diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Pengumuman itu mengesahkan Khairy yang lebih popular dengan panggilan KJ akan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ghazali Md Hamin dari PAS dan dan Datuk R Ramanan mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sebaik pengumuman itu, KJ menerusi satu hantaran di Twitter memaklumkan akan melakukan yang terbaik dan meyakinkan seramai mungkin pengundi Parlimen terbabit.
“Alhamdulillah, saya baru sahaja diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi P107 Sungai Buloh.
“Walaupun cabaran besar, saya akan buat yang terbaik untuk jumpa dan meyakinkan seramai mungkin pengundi Sungai Buloh memberi peluang kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Rembau itu dikaitkan dengan beberapa kerusi Parlimen iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.
Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau yang disandang sejak 2008 selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di kerusi berkenaan.

Terdahulu, berdasarkan rekod PRU-14 lalu, kerusi berkenaan dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa yang beroleh 43,631 undi dengan majoriti besar 26,634 undi.
Calon BN ketika itu, A Prakash Rao meraih 16,681 undi, juga tewas ditangan calon PAS, Ustazah Nuridah dengan memperolehi 16,997 undi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|