SESB akan bekalkan elektrik ke kawasan setinggan secara prabayar

SESB akan bekalkan elektrik ke kawasan setinggan secara prabayar

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menyalurkan bekalan elektrik dengan kaedah pembayaran menggunakan kad prabayar bagi mengatasi kegiatan penyambungan haram di kawasan setinggan.

Ketua Pegawai Transformasi SESB, Ir Norhizami Abu Hasan, berkata kerajaan negeri pada dasarnya sudah meluluskan cadangan SESB untuk menggunakan kaedah itu bagi menyalurkan bekalan elektrik di kawasan penempatan setinggan yang akan dikenal pasti.

Katanya, menerusi kaedah itu, pengguna kawasan setinggan hanya perlu menambah nilai kad prabayar bagi mendapatkan bekalan elektrik mengikut kesesuaian penggunaan isi rumah setiap bulan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan SESB sedang dalam proses memuktamadkan prosedur dan tatacara pembekalan ke kawasan penempatan setinggan di seluruh negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan sebelum ini mengenai kerugian jutaan ringgit dialami SESB akibat kecurian elektrik yang berpunca daripada kerenah birokrasi pihak SESB sendiri.

Norhizami berkata, SESB memahami keperluan bekalan elektrik amat penting kepada setiap premis tetapi untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, penyambungan secara haram amat ditegah.

Katanya, SESB perlu memastikan bekalan elektrik diperolehi secara sah mengikut prosedur sedia ada selain turut mematuhi aspek keselamatan ditetapkan Suruhanjaya Tenaga.

Sementara itu, Norhizami menegaskan SESB akan terus melaksanakan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram elektrik di negeri ini menerusi kerjasama daripada semua pihak yang berkaitan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab mencuri elektrik dan mengusik meter bukan sahaja menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada SESB malah boleh mengundang bahaya seperti litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran dan kemalangan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti penyambungan haram bekalan elektrik juga mengganggu kestabilan bekalan elektrik disebabkan permintaan yang melebihi kapasiti.

Katanya, situasi itu menjejaskan pengguna yang sah dan aktiviti perniagaan selain keselesaan rakyat secara keseluruhan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|