Covid-19 Sabah: Pekerja warga asing cetus kluster tempat kerja di Tenom

Covid-19 Sabah: Pekerja warga asing cetus kluster tempat kerja di Tenom

Kota Kinabalu: Seorang lelaki bukan warga negara mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja yang setakat ini menjangkiti 138 pekerja di sebuah projek pembinaan hidro elektrik di Tenom.

Kes indeks berumur 59 tahun itu dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 19 Februari lalu, sebelum 137 lagi rakan sekerjanya dikesan dijangkiti melalui saringan kontak rapat.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Tolokoson Kem Dua itu membabitkan warga kerja Sino Hydro Kem Dua.

“Indeks kes adalah seorang lelaki bukan warga negara berumur 59 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 19 Februari. Saringan terhadap kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja kemudian mendapati 137 orang lagi positif Covid-19.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif yang dijangkiti setakat ini seramai 138 orang termasuk 116 orang yang dilaporkan pad hari ini.

“Semua mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin. Siasatan awal punca penularan mendapati jangkitan bermula dalam kawasan tapak pembinaan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Dengan pertambahan satu kluster baharu hari ini, ia menjadikan 42 kluster Covid-19 yang dikenal pasti aktif di seluruh negeri setakat ini.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah hari ini mencatat jumlah kes baharu di bawah 3,000, iaitu yang pertama sejak 10 Februari lalu dengan 2,874 kes.

“Ia membabitkan penurunan sebanyak 861 kes daripada 3,735 kes yang dilaporkan semalam.

“Peratusan kes jangkitan sporadik bagaimanapun masih tinggi iaitu 58.8 peratus menunjukkan ‘trend’ menurun sejak beberapa hari lalu elum pasti boleh bertahan.

“Kes tertunggak atau daftar lewat juga masih tinggi dan ini akan mempengaruhi jumlah kes harian yang dilaporkan setiap hari sehinggalah semua ‘backlogs’ dibersihkan,” katanya.

Daripada jumlah kes hari ini, katanya sebanyak 2,859 kes atau 99.47 peratus berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti enam kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalan Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan semasa dan bagi tujuan pendataan, semua kes yang direkodkan dalam tempoh lima hari akan dikira sebagai jumlah kes semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Dalam pada itu, Masidi berkata sebanyak 21 daripada 27 daerah di Sabah mencatat penurunan kes dengan beberapa daerah mencatat jumlah penurunan yang agak besar.

“Sembilan daerah mencatat kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu (775 kes), Tuaran (324 kes), Penampang (272 kes), Putatan (210 kes), Tenom (160 kes), Papar (151 kes), Kota Belud (131 kes), Tawau (127 kes) dan Keningau (120 kes).

“Sebanyak 16 daerah pula mencatat kes dua angka, manakala daerah Kalabakan dan Semporna mencatat kes satu angka, masing-masing empat dan tiga kes baharu,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 27 Februari 2022
Sabah 2,874 (3,735)

Kota Kinabalu 775 (1,039)
Tuaran 324 (286)
Penampang 272 (287)
Putatan 210 (386)
Tenom 160 (50)
Papar 151 (261)
Kota Belud 131 (138)
Tawau 127 (158)
Keningau 120 (151)
Tambunan 78 (18)
Sandakan 61 (156)
Kota Marudu 60 (83)
Beaufort 60 (214)
Lahad Datu 59 (92)
Sipitang 52 (73)
Kuala Penyu 38 (45)
Ranau 33 (51)
Pitas 28 (37)
Kudat 21 (44)
Telupid 19 (38)
Kunak 19 (17)
Beluran 18 (31)
Kinabatangan 18 (15)
Nabawan 17 (26)
Tongod 16 (16)
Kalabakan 4 (12)
Semporna 3 (11)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 26 Februari 2022

Kluster Baharu
Kluster Tolokoson Kem Dua
Tenom 138 (+116)
(Kluster Tempat Kera)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|