Serangan terhadap PM hanya lemahkan BN – Ismail Sabri

Serangan terhadap PM hanya lemahkan BN – Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau adalah Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) dan sebarang tindakan menyerangnya bermakna melemahkan kepimpinan dalam parti.

Beliau berkata, sokongan kerajaan yang dipimpinnya diperlukan untuk menghadapi pelbagai tindakan bagi membantu rakyat termasuk mengelak daripada berlaku kenaikan harga barang yang melampau.

“Kerajaan akan terus cuba mengelak kenaikan harga barang yang melampau bagi memastikan rakyat tidak begitu tertekan dan setakat ini lebih RM70 bilion dibelanjakan untuk memastikan harga barang yang tertentu dapat kita berikan subsidi supaya tidak ada kenaikan yang mendadak yang boleh menjejaskan.

“Saya harap di kalangan kita tolong beri sokongan kepada kerjaaan dalam menghadapi tindakan. Kita serang kerajaan bermakna kita serang yang dipimpin oleh BN. Sebab saya berada di dalam kerajaan mewakili UMNO dan mewakili BN.

“Saya Perdana Menteri BN, bukan Perdana Menteri parti lain, serang saya bermakna melemahkan kepimpinan BN. Jadi saya mohon sokongan daripada tuan, puan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO di sini, malam ini.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya fokus menentang parti pembangkang yang menyerang BN berikutan pilihan raya bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya harapkan adalah perpaduan sesama kita, kalau bercakap soal pilihan raya kita mesti merapatkan hubungan, kalau sebelum ini kurang rapat dan fokus kita adalah menentang parti pembangkang. Musuh kita sekarang adalah pembangkang,” katanya.

Katanya lagi, pembangkang ketika ini sudah memulakan momentum ke arah menentang kerajaan untuk menaikkan sentimen rakyat mengenai kerajaan.

“Pembangkang sekarang apabila mereka sudah dapat gambaran pilihan raya akan diadakan, flashmob telah pun bermula di Masjid Kampung Baru dan saya difahamkan flashmob lain akan diteruskan.

“Mereka akan memulakan momentum ke arah menentang kerajaan untuk menaikkan sentimen rakyat tentang kerajaan apabila kenaikan harga barang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|