PM mohon maaf tak dapat hadir Konvensyen BN Sabah

PM mohon maaf tak dapat hadir Konvensyen BN Sabah

Kota Kinabalu: Ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah yang diadakan esok disebabkan tugasan beliau yang lain.

Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak akan berucap pada konvensyen terbabit kerana perlu menghadiri Mesyuarat Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang turut diadakan pada hari yang sama.

Ismail Sabri bersama barisan kepimpinan BN pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu.

“Sebenarnya malam ini saya tidak rancang, sepatutnya saya diberi slot esok tetapi saya mohon maaf tidak dapat hadir kerana akan merasmikan Mesyuarat Agung MTUC kerana MTUC ini tak pernah rapat pun dengan BN.

“Jadi sebab itulah saya diberi jemputan, saya terima jemputan tersebut dan apabila dijemput untuk menghadiri konvensyen ini saya datang tapi esok saya memang tak dapat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di bangunan UMNO di sini, malam ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri berkata, beliau terpaksa menerangkan perkara itu bagi mengelak daripada sebarang spekulasi pihak luar.

“Apabila saya tidak hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi, saya dikatakan memboikot mesyuarat sendiri. Sedangkan saya sudah berhubung dengan Presiden UMNO, maklumkan kepada Presiden bahawa saya tak dapat datang kerana ada mesyuarat antarabangsa yang dipengerusikan Presiden Republik China bersama 17 ketua negara dan ketua kerajaan.

“Jadi saya terpaksa hadir tetapi macam-macam cerita konon-konon saya tak datang saya boikot, ada pelbagai unsurlah,” katanya.

Tambahnya lagi, keadaan itu menunjukkan bahawa pihak di luar sedang cuba memecah belahkan perpaduan sesama sendiri di dalam parti.

“Semakin kita bercakap soal pilihan raya, semakin rancak kumpulan dari luar ingin memecahbelahkan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, konvensyen yang diadakan itu bertujuan untuk merapatkan barisan kepimpinan BN di negeri itu.

“Selain daripada merapatkan saf kepimpinan BN Sabah, tujuan konvensyen ini juga ke arah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|